Pasar Bisik, Kuala Muda – Tradisi Unik Warisan Nelayan Kedah.
Pasar Bisik Kuala Muda merupakan salah satu tarikan unik di negeri Kedah. Ini bukan kali pertama aku menjejakkan kaki kesini kerana aku sering kali kesini untuk “renew” hasil laut. Berdirinya Pasar Bisik ini kerana kedudukan geografinya yang terletak di muara Sungai Muda, iaitu titik pertemuan antara air tawar dan air masin. Geografi muara menjadikan kawasan ini terlindung, menyebabkan air lebih tenang dan kurang berombak dan ianya sesuai untuk pendaratan bot nelayan.
Thank you for reading this post, don't forget to subscribe!Keunikan utama pasar ini ialah proses urus niaga yang dilakukan secara berbisik. Pembeli mendekati nelayan dan menyebut harga dengan suara perlahan—tanpa tawar-menawar terbuka. Teknik ini bukan sekadar tradisi, tetapi juga strategi untuk mengelakkan persaingan harga secara lantang.
"Waktu Operasi"
Setiap Hari (bergantung kepada cuaca & hasil tangkapan) • Biasanya bermula pagi sekitar 7.00–9.00 AM • Waktu lelong berubah mengikut bot tiba • Datang awal untuk lihat proses penuh
"Sejarah Ringkas Pasar Bisik"
Pasar Bisik Kuala Muda yang bermula sekitar 1960-an sebagai pondok kayu di tepi pantai Kedah menjadi lokasi nelayan mendaratkan hasil laut, dan keunikannya terletak pada kaedah jual beli berbisik antara penjual dan pembeli yang kekal diamalkan hingga kini, menjadikan tradisi turun-temurun ini bukan sahaja identiti komuniti nelayan tetapi juga tarikan budaya dan pelancongan yang menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara.
"Lokasi (Map Pin Icon)"
Pasar Bisik Kuala Muda, Kedah • Terletak di muara Kuala Muda berhampiran sempadan Kedah–Pulau Pinang • Landmark mudah: kawasan jeti, bersebelahan tempat pendaratan ikan • Parking di bahagian tepi jalan & kawasan lapang berdekatan
Proses Jual Beli Secara 'Bisik'
Proses jual beli di Pasar Bisik bermula sebaik sahaja nelayan mendaratkan hasil laut di tepi pantai. Para pemborong dan pengunjung akan menghampiri peti atau longgokan ikan, sebelum penjual ‘membisikkan’ harga sebenar kepada pembeli yang berminat.
Tradisi ini berlaku pantas dan hampir tanpa suara, namun tetap teratur — seolah-olah menjadi bahasa rahsia komuniti nelayan Kuala Muda.
- Langkah 1 — Kenal Pasti Ikan
- Langkah 2 — Penjual Membisikkan Harga
- Langkah 3 — Persetujuan & Timbang
“Suasana Random Di Pasar Bisik”
“Detik-detik kecil yang membentuk keunikan Kuala Muda”
Suasana pagi di Pasar Bisik, Kuala Muda unik kerana sentiasa penuh dengan momen-momen yang “random”. Kucing – kucing jalanan berkeliaran, mengikuti nelayan dan pembeli dengan harapan mendapat ikan segar. Pada masa yang sama, para nelayan sibuk mengangkat hasil tangkapan ke daratan.
Di sekitar kawasan muara, papan tanda “Larangan Mandi Manda” jelas kelihatan, mengingatkan pengunjung tentang arus kuat dan keadaan geografi yang tidak sesuai untuk aktiviti rekrasi air. Tidak jauh dari situ, kelihatan tong ais untuk penyimpanan ikan tersusun rapi menjadi tempat simpanan sementara sebelum berpindah kepada pemborong.
Walaupon nampak “random”, semua elemen kecil ini iaitu dari kucing jalanan hingga ke tong ais telah membentuk suasana pagi yang penuh cerita di pasar Bisik Kuala Muda.
Refleksi Jurugambar
Sebagai jurugambar, kamera bukan sekadar alat untuk merakam gambar tetapi ianya adalah lebih bermakna sebagai tiket untuk menyelami dunia dan memulakan hubungan sillaturahim sesama manusia. Di Pasar Bisik, aku bukan sekadar merakam gambar, tetapi aku mendengar cerita dan menyelami kehidupan nelayan disini.
Aku memilih untuk merakam momen secara ringkas—pakai kit lens, bergerak dekat, dan tak terlalu fikirkan teknikal. Di sini, detik berlaku terlalu cepat, dan aku lebih suka kejar rasa berbanding spesifikasi. Kalau nak datang sebagai jurugambar, lensa seperti 23mm, 24mm, 35mm atau 85mm memang membantu menangkap cerita dari pelbagai perspektif: dekat, jauh, dan penuh emosi.
Akhirnya, pengalaman ini mengingatkan aku bahawa fotografi bukan sekadar mencari “gambar cantik”—tetapi menghargai pertemuan ringkas dengan manusia yang sedang berusaha mencari rezeki. Setiap kali aku memandang hasil gambar dari hari itu, aku teringat betapa uniknya tradisi ini… dan betapa bertuahnya dapat merakamnya.
“Support Hasil Laut Tempatan”
“Jika berkunjung ke sini, cuba beli sedikit hasil laut sebagai tanda sokongan kepada komuniti nelayan Kuala Muda.”